Pelaksanaan ISA terhadap pihak yang terbabit dalam aktiviti subversif seperti pengganas komunis adalah sejarah. Pada dasarnya, Komunis telah lama lenyap dalam kamus pemerintahan Malaysia hari ini.
Namun dalam konteks sekarang, ISA adalah undang-undang pencegahan untuk mengelakkan berlaku ancaman kepada ketenteraman awam dan keamanan. Itu adalah objektif utama ISA.
Dalam catatan pentadbiran negara ini, ISA telah berjaya bertindak sebagai undang-undang pencegahan yang berkesan. Melalui ISA kerajaan berjaya membendung kelompok-kelompok ektrimis tertentu serta pelampau-pelampau agama yang bertindak di luar batasan serta mengganggu gugat keamanan dan ketenteraman negara. Kejayaan ISA terbukti, dengan melumpuhkan beberapa tindakan dan gerakan subversif dalam negara seperti Kumpulan Al Maunah, Jemaah Islamiah, HINDRAF dan sebagainya.
Matlamat dan tujuan kerajaan mengekalkan ISA hanya satu, dalam apa situasi pun kerajaan bertanggungjawab memastikan keselamatan dan keamanan negara terus terpelihara, kerajaan tidak wajar memikirkan kepentingan individu. ISA perlu terus dilaksanakan tanpa mengira sesiapa, sama ada mereka ahli politik, NGO, orang perseorangan mahupun orang awam.
Kesimpulannya, melalui ISA yang telah dilaksanakan sejak lebih 30 tahun yang lalu, kerajaan berjaya mengawal negara dari berbagai-bagai ancaman sama ada ancaman dalaman mahupun luaran. Bermula dengan AKTA DARURAT untuk membanteras ancaman komunis hinggalah ke AKTA KESELAMATAN DALAM NEGERI (ISA) yang telah melalui proses transformasi dan pindaan lebih 20 kali, maka sewajarnya ISA perlu untuk terus dikekalkan demi memastikan negara terus aman dan tenteram.
Sumber: PMR